Anak Derhaka

Salam semua. Aku M, berumur 27 tahun, lepasan universiti dan sekarang bekerja sebagai pharmacist di sebuah farmasi kecil di Kuala Lumpur. Harini aku nak kongsi pengalaman aku sebagai seorang anak derhaka yang bersebab. Aku tahu perkataan anak derhaka tu sendiri susah untuk kita terima sebab kita semua ada satu anggapan ni yang parents cannot do us wrong. Dan dalam Islam pun menuntut anak-anak berbuat baik kepada ibu bapanya. Tapi apa yang aku alami selama ni membuatkan aku jauh, jauh dari bapa aku.

Bapa aku was once a successful businessman with at least 50 workers under him. Dikalangan kawan-kawan dia, dia disanjung sebab bapa aku ni jenis suka spend on his friends and spend kat sini bukan lah untuk benda-benda yang baik. Perempuan simpanan, club, main judi di casino kat oversea, cars, baju mahal tu macam sebati dengan hidup bapa aku and kawan-kawan dia. Mak aku? Mak aku adalah perempuan naif dari belah utara yang percaya bapa aku ni lelaki yang akan jaga dia dan tak pernah tanya lebih-lebih. Well, tanya lebih ? Berani ke? Kalau dijawab dengan sepak, terajang, lempang. Aku witness mak aku kena pukul dari umur aku 4 tahun lagi. Tapi mak aku ni jenis tak belajar tinggi, jadi dia terima semua ni seadanya. Dan kawan-kawan bapa aku pulak dengan yakinnya menyakinkan isteri-isteri mereka yang bapa aku ni baik and they follow strictly the Bros Code iaitu jangan ceritakan hal-hal buruk pasal rakan kau atau kantoikan dorang. Bodoh kan? Tapi tu la manusia.

Bapa aku memang takda masalah nak bagi duit ni. Adik beradik aku mewah dengan apa yang bapa aku belikan tapi sayang aku terlampau kecil untuk faham semua tu. Tapi itu bab duit. Perangai bapa aku tetap macam setan. Tapi orang kata Tuhan nak tunjukkan. Mak aku yang selalu kena pukul dan dipanggil bila perlu ni mula belajar menjahit untuk isi masa lapang dia. Pak aku bukan selalu ada rumah pun. Jadi dia ada kami and mesin jahit dia. Semua benda dia jahit dari sarung bantal ke baju raya kami. Kami la boria paling meriah bila balik kampung. Ropol, riben semua ada. Dari situ makcik-makcik and jiran-jiran start notice bakat mak aku dan mula dapat tempahan. Order mula-mula sikit je but over time, tempahan jadi banyak gila and mak aku minta kebenaran bapak aku untuk buat bilik kecil kat belakang rumah aku untuk dijadikan bengkel menjahit dia. Time tu mak aku upah seorang pekerja dari kampung dia untuk tolong dia. Budak muda dalam 20an waktu tu. Kadang-kadang kerja sampai malam nak siapkan tempahan.

Time ni bapak aku mula hadapi cabaran dekat bisnes dia. Kawan-kawan mula menjauh. Yelah sebab duit dah tak banyak macam dulu kan. Jadi bapa aku baru lah menjelma dan menunjukkan batang hidung dia dirumah. Ada di rumah bukan menyenangkan tapi membuat onar. Satu hari budak yang tolong mak aku tu mengadu yang bapa aku cuba “kacau” dia. Berderau darah mak aku dan aku tau mak aku waktu tu panik dan tak tahu nak buat apa. Budak tu kata bapa aku cuba cium dia, pegang punggung dia dan waktu budak tu ke tandas, dia cuba paksa diri nak masuk. Gila ke apa? Waktu tu mak aku tak cerita langsung kat kami adikberadik sebab takut kami sedih dan tak percaya. Malam tu mak aku try slow talk dengan bapa aku pasal ni, end up mak aku kena pukul lagi. Kali ni bapak aku terajang mak aku sampai keluar bilik dan aku ingat lagi sampai tercabut langsir bilik diorang. Kami adik beradik histeria sebab tak pernah tengok mak kena macam tu. Bila adik lelaki aku cuba tarik mak aku ketepi, adik aku pun kena terajang dengan bapa aku.

Dan agaknya waktu tu lah mak aku realize yang tak guna tunggu dan setia dengan lelaki setan macam ni jadi mak aku dengan berbekalkan duit yang dia simpan hasil jahitan dia, nekad keluar rumah malam tu jugak bawak kami anak beranak. Bapa aku ego waktu tu ingat mak aku takkan dapat bertahan tanpa dia bagi duit semua, tapi dia salah. Sampai aku dah besar panjang ni lah sesen pun mak aku tak minta kat bapa aku. Dari sekolah sampailah universiti. Mak aku lah yang tunjukkan aku erti cekal dan mak aku lah hero aku. Keluar rumah kami ditumpangkan ke rumah makcik aku yang dah lama tahu perangai bapa aku. Dari situ mak aku cuba menapak semula dan akhirnya buka kedai jahit dia sendiri sampaila sekarang ni. Dalam hidup aku tak ada langsung penglibatan bapa aku semenjak mak aku keluar bawa diri dan bercerai selepas beberapa tahun dia keluar tu.

Bapa aku semenjak mak aku tinggalkan dia macam orang tak terurus dan terus dirudung bencana. Bisnes lingkup, kena tipu dengan kawan, perempuan bawak lari duit dan akhirnya gulung tikar. Sampai sekarang bapa aku susah dan kahwin pun dengan perempuan yang dia tak perasan nak menyusahkan dan gunakan dia. Sekarang ni bapa aku sakit dan hidup dalam kemiskinan. Sebab tak ada pencen dan simpanan, hidup dia melarat dan isteri dia langsung tak ambil tahu. Baru sekaranglah dia nak cari kami adik beradik. Ikutkan hati aku nak biar je dia melarat dan tak nak ambil tahu pasal dia langsung tapi adik beradik aku yang lain rasa kami patut tolong dia.

Sungguhpun aku dah pegang duit aku sendiri dan mampu tolong dia, jujur aku cakap aku tak ikhlas. Bila aku tengok muka dia aku teringat macam mana dia buat mak aku dulu, macam mana dia sisihkan kami tanpa sesen pun untuk kami membesar dan ke sekolah, macam mana dia berikan semua harta terakhir yang dia ada kepada anak tiri dia dan lupakan kami.

Sekarang ni nak buat cerita sedih dan minta bantuan kami setelah apa yang dia buat?
Mungkin adik beradik aku yang lain lembut hati lah untuk maafkan dia tapi bukan aku. Nak kata derhaka? Aku tak hamburkan kata-kata cacian bila aku berjumpa dia. Aku tak buat perangai dan tunjukkan aku benci dia. Tapi untuk dia bergantung harap kepada aku yang dulu dia buang bersama adik-beradik aku ? Mungkin aku patut tukar sahaja nombor telefon aku ni dan berpindah. Biar dia tak dapat cari. Baru dia tahu. Bersusahlah kau sepertimana kami bersusah dulu hiduo menumpang, makan tak tentu.

Derhaka? Mungkin pada kau. Pada aku, aku hanya hidup sama seperti dulu ; hidup tanpa bapa aku.

– MSD

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit