Bahagia Lihat Kebahagiaan Orang

Assalamualaikum.

Hi semua, and thanks admin kalau approve confession ni.

Kali ni aku nak confess apa yang aku hadapi beberapa tahun ni dengan adik-beradik ipar aku. Kes aku, suami isteri bekerja, dan isteri gaji besar sikit dari suami. Aku ada degree dan suami aku berkelulusan PMR sahaja. Alhamdulillah rezeki aku memang lebih sikit dari suami aku tapi rezeki tu kira bersama la. Kami syukur sangat, tak kisah la siapa gaji besar atau kecil, yang penting masing-masing bertanggungjawab, ada tolak ansur dan belanja ukur badan sendiri.

Berbalik pada topik tadi. Dalam adik beradik suami aku, ada sorang je anak perempuan. Aku namakan A. Suami aku anak no.3, A no. 5. Dari gaya aku tengok A ni anak kesayangan mak pak mertua aku. A dah kawin, lagi awal dari kami kawin, anak ada 3. A dengan suami dia bagi aku memang suka bergaya, suami pun kerja yang jenis berurusan dengan orang berduit. So jenis kawan-kawan semua orang berduit la. Cara pakaian pun dah tau. Kalau balik umah mertua, A memang jenis tak lekat rumah, akan selalu pergi rumah kawan-kawan dengan suami dia, reunion la, kadang-kadang anak memang tinggal ja kat rumah, mak mertua jaga. Kerja rumah masak reramai lagi-lagi time raya memang tak payah nak harap la, aku memang takde berani nak tegur beria, melawak je ada sbb mak mertua memang jenis lebihkan dia dan kalau A bangun tengahari, mak mertua ketawa bahagia je.

Keluarga aku dengan suami aku ni orang kampung, bukan orang senang tapi takde la susah sangat. Biasa-biasa je. Bila aku dapat kerja kerajaan, gaji besar sikit kira 2x ganda besar dari suami aku, syukur sangat, stabil sikit la aku sekeluarga, tampung dua anak dan aku mintak izin suami nak bagi duit lebih kat mak abah. Sebelum ni nak bagi RM50 pun sesak juga weh, abah aku selalu salur kat aku senyap2 masa aku kerja kerani cabuk. Terima kasih bah.. Walau gaji kecik, suami aku tolong2 juga hal rumah, bayar sewa rumah dan kereta, aku setel semua selain rumah dan kereta, aku bayar duit pengasuh, barang dapur, minyak kereta dll. Sama-sama la kan. Bila dah senang sikit ni, aku buat la simpanan, ada sekali sekala aku belanja suami dengan anak-anak holiday. Kesian anak aku, 5 hari pagi sampai petang duk rumah pengasuh. First aku bawa gi Melaka (awal tahun lepas), celebrate birthday anak. tup tup malam, A terus pm aku dgn suami kata mak sedih, kenapa kami tak bawa mak. A cakap dia tak sampai hati tengok mak macam tu. Pulak dah, cepat-cepat besok kami datang rumah A jumpa mak dan minta maaf. Tapi aku tengok mak macam biasa je. Owh.. mak mertua aku ni selalu tinggal rumah A sebab A minta tolong jaga anak-anak dia sebab hantar pengasuh mahal. A selalu mengeluh dia susah, takde duit. Rumah A dengan rumah aku kat dua negeri berbeza, perjalanan dalam sejam macam tu.

Awal tahun, aku dapat voucher free hotel kat Pahang, ok cantik la boleh honeymoon dgn suami & anak2. Malam kedua holiday, mak mertua terus call suami aku tanya kat mana, kenapa tak bawa dia, soal siasat macam-macam. Mak mertua aku org kampung weh, mana ada FB pun. Dari dengar cara cerita aku dah dapat tangkap dah siapa yg menyampaikan pada mak mertua aku iaitu kak ipar (isteri abang sulung suami), sebab lepas tu mak cerita pasal abang suami aku tengah susah, kena tukar tempat kerja dan lain-lain (korang ni tak habis2 merepot kan. Aduhai…). Mak mertua aku ni ok sebenarnya, tapi aku perasan kalau orang cucuk duk apikan dia memang meroyan la orang tu. Apa motif ko cucuk mak mertua kata kami tinggalkan mak, tak bawa mak pergi honeymoon sekali? Kasik can la kat kami nak honeymoon adik kakak oi..

Baru-baru ni A ada masalah rumahtangga sket. So mak mertua datang rumah A jaga anak2 dia. Kali ni kak ipar pm aku dgn suami aku, tapi story lain-lain weh. Kami ni memang share je semua whats’up, FB. Kat aku saja tanya khabar katanye, kat suami aku, kak ipar minta tolong belikan barang dapur dan duit belanja untuk anak-anak A ni. Katanya kesian sebab A tengah susah. A dengan kak ipar aku kamceng. Aku stalk FB A, FB ex suami A (masa ni A baru bercerai), masing-masing elok ja makan kat luar, shopping dengan kawan-kawan. Tak boleh blah, kak ipar suruh kalau boleh (ayat sipi2) tampung belanja dapur rumah A, pajak nama mak weh. Katanya kesian kat mak duduk rumah A takde makanan.

Aku dengan suami senyap kan je la, sbb A ni kalau tegur kuat merajuk, protes. Tapi nak sponsor belanja dapur A tak mampu la, umah sendiri lagi. Raya haji baru-baru ni, nak dijadikan cerita, kami memang turn balik umah mertua. A tanya2 balik bila, kami balik sehari sebelum raya sebab suami kerja. Malam sebelum balik kg, mak mertua call, ex suami A call, kak ipar call rupa-rupanya nak suruh kami jemput dan bawa mak balik kampung sekali untuk raya. A pergi holiday fly over the sea atas alasan mencari ketenangan diri. Puihhh… Asalnya memang A janji dengan mak hantar mak balik kampung, tup tup da fly weh, tinggal mak macam tu dan lepaskan kat suami aku untuk hantar mak. Ok fine, dia post kat fb kot, mak mertua, kak ipar semua tahu la A g bercuti (aku dalam hati, kau kata kau susah). Mak mertua pun terlepas banyak cerita sepanjang dia duduk dgn A, penat jaga anak-anak A. A selalu malam-malam pergi karoke, balik kerja lambat, tak pernah masak untuk anak A, kira mak mertua dah macam bibik duduk sana. Suami aku marah sangat A buat macam tu, lagi2 pada mak. Tapi, suami cakap2 dekat mak je suruh A berdikari, nak tegur A memang tak la sebab nanti A melenting dan bergaduh pula.

Aku?? Lega weh bila A cari “ketenangan diri”, buat perangai enjoy yang dia SOROK selama ni dah diketahui umum termasuk kak ipar. Ada banyak lagi story pm pm tepi ni kononnya susah contohnya kereta tak bayar 3 bulan, kereta rosak, x padan dengan lepas tu makan besar bagai dengan kawan2. Sejak-sejak tu, dah xde pm pm tepi bagai ni, cerita sedih A dari 3 pihak, A, kak ipar dengan mak mertua tentang masalah kewangan A, atau A dianiaya ex suami dia. Series dah xde weh lepas kes holiday mencari ketenangan tu.

Lepas tu, aku try sekali lagi bawa suami dgn anak2 holiday sambut ulang tahun perkahwinan. Aku simpan duit kutu, bawa g water chalet, terus aku post fb bagai, sebelum ni byk aku hide sbb nak jaga hati semua orang. Dua hari, silent, xde siapa pm pm tepi atau call nak hentam kami sampai hari ni.

Sekarang anak-anak A duduk kampung dengan mak mertua, katanya A tak stabil lagi nak jaga. Setakat sebulan dua ni memang takde siapa, kak ipar atau A pm minta bantuan tanggung kos jaga anak-anak A. Bukan taknak tolong, aku tengok mak ayah nya sihat lagi, kerja, jalan2, makan luar, tengah move on (konon), so pandai-pandai la korang fikir macamana nak sediakan keperluan anak-anak korang yang ditinggalkan di kampung.

Oh ipar duai, aku ni ibu bekerja, aku nak bawa anak2 aku berjalan sebab masa aku kurang dgn dorang, bukan nak tunjuk aku senang pun. Aku nak g holiday, aku kumpul duit, xde sampai x bayar duit kereta bagai. Kalau rasa tak mampu baik jangan weh, aku nak bercuti takkan nak angkut satu family ipar duai, mana aku mampu… jangan kecam, jangan rasa tergugat, rezeki masing2. Sihat pun rezeki. Berbahagialah lihat kebahagian orang lain, jadikan inspirasi untuk kita lebih berusaha. Mungkin kita tak tahu apa yg telah ditarik sebelum mereka dapat kebahagian tu. Aku doakan A dapat mencari kebahagiaan dia sendiri. Kak ipar, adik ipar atau sesiapa, buang la sikap bila aku ni isteri bekerja, kami di chop orang senang dan aku kena tanggung semua belanja rumah. Ingat, walau isteri bekerja tak bermakna suami tak perlu menanggung isteri dan anak-anak, tapi diarahkan menanggung anak-anak buah atas dasar mak dia susah. Selidik dulu susah dia level mana, kalau dia susah sebab kuat berjoli itu kira orang susah juga ke? Percayalah, kalau asyik rasa nak enjoy melebihi dari kemampuan, sampai bila duit tak pernah cukup. Syukur itu kunci bahagia.

Tu sahaja.
Siti si isteri bekerja

– Siti

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit