Bahana Teman Serumah

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca IIUM Confession. Saya berharap agar kisah sy pada kali ini boleh dijadikan pedoman dan pengajaran buat semua.

Alhamdulillah semuanya dipermudahkan Allah SWT apabila saya, Nia, Fasya, Wawa ditemukan dgn tuan rumah baru kami, Puan Intan yang amat baik dan sgt bertoleransi. Kami berempat menyewa di sebuah rumah berkembar milik Puan Intan yang luas dan selesa. Kami mula menyewa pada tahun 2014 dan alhamdulillah, sehinggalah akhir tahun 2016, tiada sebarang masalah yang timbul. Kami berempat pelajar manakala penyewa lain datang drpd pelbagai latarbelakang. Ada yg sudah bekerja dan ada juga pelajar praktikal, namun, disebalik perbezaan itu, tidak pernah lagi timbul masalah dari segi pergaulan mahupun komunikasi antara kami semua.

Sehinggalah Allah menemukan kami dengan seorang hambanya yang bernama Syaz. Syaz mula menyewa bilik utama di rumah kami pada bulan September. Beliau merupakan pelajar praktikal di sebuah institusi pengajian awam di Pantai Timur. Pada mulanya, tiada apa yg tidak kena pada Syaz. Orangnya lembut, cantik, bertudung labuh dan sopan santun. Awal perkenalan, kami sangat mesra dan akrab. Beliau juga selalu keluar bersama kami walaupun kami berbeza kursus.

Namun, setelah beberapa bulan bersama, Syaz mula menunjukkan perubahan sikap yang tidak kami duga. Awalnya, Syaz kerap meminjam duit daripada teman sebiliknya, Fasya. Fasya yg lahir dr keluarga yg berada pada mulanya tidak berat hati meminjamkan sejumlah wang pada Syaz. Maklumlah, kawan mana yg tidak tersentuh apabila melihat teman serumahnya hanya menjamah nasi kicap berlaukkan nugget kadang kadang diselang selikan dengan sardin pada esok hari. ” Dia dari keluarga yg tidak senang mungkin”, getus hati Fasya. Berkali-kali Syaz meminjam duit dari Fasya namun Fasya tidak pernah bersangka buruk.

Pada masa yg sama, walaupun Syaz mempunyai masalah kewangan, saya, Wawa dan Nia amat gusar melihat sikap Syaz yang kerap keluar malam bersama tunangnya. ” Katanya si Syaz mempunyai masalah kewangan, mana mungkin dia boleh keluar tiap tiap malam macam ni bersama tunangnya. Dah la pergi makan tempat tempat yang mahal. Seoul Garden Hot Pot la, Manhattan Fish Market la..semata-mata untuk ditayang di dalam IG untuk tatapan semua kononnya hidup mewah padahal berhutang keliling pinggang”, omel Wawa. Biarpun berasa curiga, kami bertiga masih mendiamkan diri, bimbang fitnah yang bakal mengundang pergaduhan jikalau tersalah sangka.

Dipendekkan cerita, perangai Syaz semakin menjadi-jadi. Pelbagai barangan keperluan kami habis diguna Syaz, lebih-lebih lagi jika kami semua pulang ke kampung halaman masing-masing. Pulang sahaja dari cuti, kami mendapati pelbagai kelengkapan harian dan juga makanan yang kami simpan di dapur semuanya habis diguna tanpa izin. Syaz hanya akan mengaku setelah kami bertanya berulang kali mengenai hal tersebut.

Mungkin ada dari kalian yang mempersoalkan keikhlasan kami berkawan dan sepatutnya kami tidak perlu ‘berkira’ antara satu sama lain. Namun begitu, bagaimana jika kalian ditempat kami. Kadang kadang, kami terpaksa menabung untuk membeli sesuatu barang mahupun makanan kerana kami juga datang dari latar belakang yang sama, bukannya anak org kaya. Semestinya kami akan berasa marah dan rasa dikhianati kerana barang kami diguna tanpa meminta izin apatah lagi apabila barang tersebut diguna sehingga habis.

Beberapa hari yang lepas, Fasya meminta kembali sejumlah wang yang dipinjam Syaz kerana Syaz baru sahaja mendapat gaji hasil daripada kerja ‘part-time’ beliau. Namun Syaz mengelak dan bersikap acuh tak acuh. “Ala..aku hutang kau RM50 je pun..bukan ratus-ratus. Dah dpt PTPTN nnti aku bayar kau balik. Aku nk ke KL ni, banyak duit nak pakai”, bentak Syaz. Fasya hanya mampu mendiamkan diri. ‘Pergi ke KL berseronok dengan kawan boleh pulak, tapi hutang aku tak nak bayar ‘ omel Fasya di dalam hati.

Sehingga kini, Syaz masih belum membayar sepenuhnya hutang beliau terhadap Fasya. Akibat mengikuti trend sekarang untuk memaparkan kehidupan mewah dan serba sempurna di Instagram, Syaz sering berhutang dengan kawan-kawan. Lebih teruk, akibat dr perangai beliau, Syaz telah menyusahkan kawan-kawan di sekeliling. Siapa sangka teman yang dahulunya rapat kini telah berubah. Apa lah sgt yang dibanggakan segelintir orang muda sekarang apabila mendedahkan gaya hidup mereka yang kononnya ‘sempurna’. Di sebalik ‘kesempurnaan’ itu, tiada siapa menyangka bahana yang melanda mereka yg lain.

Jangan lah kerana hendak mengikut trend, hubungan dengan kawan-kawan terkesan. Tambahan pula dizaman kegawatan ekonomi kini, sebagai pelajar, kita seharusnya lebih bijak berbelanja dan tidak menghabiskan duit untuk perkara yang tidak perlu. Semoga coretan saya pada hari ini serba sedikit dapat dijadikan pedoman buat kalian pelajar yang menginap bersama rakan- rakan di rumah sewa mahupun asrama. Hargailah dan jagalah hubungan sesama kita dan janganlah sekali kali kita menggunakan kelebihan seseorang untuk kepentingan diri.

Assalamualaikum.

– Lily

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit