Penawar Gagap

Assalamualaikum..

Pertama sekali saya nak ucapkan terima kasih pada admin sebab kongsikan confession saya ni di page IIUM.

Saya rasa saya perlu bercerita dalam masa yang sama saya perlukan pandangan, pendapat dan sokongan dari semua pembaca. Semasa menulis confession ni, saya masih dalam keadaan bingung dan tertekan. Pada orang lain, mungkin apa yang saya alami ni perkara kecil, tapi, ianya amat merunsingkan saya.

Sebelum mula, saya akan ceritakan serba sedikit pengenai saya supaya pembaca boleh kenal personaliti saya. Saya seorang perempuan. Berkeyakinan rendah (faktor rupa fizikal dan kurang berpengetahuan), pemalu, suka berimaginasi tentang sesuatu situasi (kadang² gemar bercakap sorang² tapi akan terdiam bila tersedar- Sekarang saya berjaya melatih diri untuk tidak bercakap seorang² kerana takut ada yang berkomunikasi dengan saya tanpa saya sedar), tiada kawan dan jauh dari keluarga, rasa rimas dan tak suka duduk di tempat yang sesak, ramai dan bising. Suka menyendiri sambil lihat dan mentafsir gelagat orang lain.

Pada awalnya, saya tersedar bila saya bercakap, kadang² bahasa pertuturan harian saya
jadi bahasa baku, walaupun saya bukan berada dalam situasi formal. Contohnya, saya pernah di ketawakan  kerana penggunaan bahasa saya yang terlalu formal dan baku ketika pensyarah minta saya kehadapan kelas untuk menerangkan apa yang ditulis olehnya. Sedangkan rakan² lain menerangkannya dengan cara yang lebih santai, dan menggunakan bahasa pasar. Orang sangkakan saya seorang yang “poyo”.

Selepas itu, kerap berlaku ‘Slip of the tongue’ atau tersasul sehingga apa yang saya cuba sampaikan, disalah anggap. Kadang² saya lupa perkataan yang sepatutnya digunakan. Dan saya mempunyai masalah lambat berfikir.

Sehinggalah akhir-akhir ni saya tersedar apabila saya cuba untuk berkomunikasi dengan orang, saya akan jadi gagap dan lidah saya jadi kelu. Saya hilang kata² walaupun orang cuma bertaya soalan yang simple dan mudah. Contohnya, “Dah makan?”, “Makan apa?”,”Pergi mana?”. Tapi saya akan gagap apabila memberikan jawapan. Orang akan berasa tidak yakin dengan jawapan yang saya berikan. Kadang² orang tak faham dengan apa yang saya cuba sampaikan. Disebabkan itu, saya rasa malu untuk berkomunikasi dengan orang.

Adakah saya jadi macam ni disebabkan oleh sifat saya yang suka menyendiri, atau disebabkan saya jarang bercakap?

Lagi satu, saya ada seorang kawan lelaki, setiap kali saya memberikan pandangan atau nasihat, kata² saya selalu disekat atau disuruh diam sebab dia tidak mahu mendengar apa yang saya katakan. Kami jarang bertemu, tapi setiap kali berjumpa, saya lebih bnyak diam dari bercakap hingga dia rasa bosan dan marah dengan saya. Adakah disebabkan itu juga, saya jadi macam ni?

Macam mana saya nak perbaiki pertuturan saya? Perlu ke saya cuba untuk bergaul dengan ramai orang atau mencari kawan untuk hilangkan sunyi? Saya ni normal atau tak? Perlu ke saya jumpa pakar psikiatri?

Saya harap pembaca boleh berikan pandangan atau nasihat bagi membantu masalah saya.

Terima Kasih.

– Invisable Human

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit