Penderaan Seksual Kanak-kanak

Assalamualaikum. Bismillah.
Alhamdulillah Allah beri kekuatan dan saya terpanggil untuk berkongsi pengalaman mengenai perkara diatas. Bukan main tajuk macam perbincangan ilmiah tapi mintak tolong baca sampai habis ye. Berat dan sukar untuk saya berkongsi pengalaman ni sebab saya tak nak ingat lagi dah. Dengan perkongsian ini saya cuma harap takde budak dah rasa apa yang saya rasa.
Demi Allah apa yang saya kongsikan adalah pengalaman sendiri yang tak pernah saya ceritakan pada sesiapa sepanjang hidup, dan (rasanya)akan jadi rahsia sampai mati.

Saya merupakan wanita akhir 20an, dan merupakan salah seorang mangsa penderaan seksual ketika kanak-kanak oleh dua orang saudara terdekat lelaki, si tua dan si muda. Penderaan seksual yang macamana tu cukuplah rahsia Allah, saya dan pelaku sahaja yang tahu. Cumanya di sini saya nak kongsi kesan apa yang terjadi terhadap diri saya, serta beberapa cadangan yang boleh diaplikasikan oleh ibu bapa diluar sana. Moga-moga jadi iktibar dan pengajaran.

*****
Implikasi 1
Sangat low self esteem.
Ya saya adalah seorang yang sangat kurang keyakinan diri. Saya mampu berdikari tetapi saya sukar nak bercakap di hadapan crowd. Saya mudah merendah-rendahkan diri dengan diri sendiri (monolog), meragui kemampuan diri dan kadang-kadang rasa tak berguna. Saya tak hargai diri sendiri dan rasa tak disayangi oleh sesiapa. Kuasa Allah yang memudahkan perjalanan hidup saya, saya berjaya mengenggam segulung ijazah yang mula-mula saya ingat saya tak mampu capai pun. Yelah nak dapat ijazah kena melalui kelas-kelas, assignment, kerja kumpulan, perbentangan, viva dan macam-macam lagi kan. Sampai sekarang pun saya masih pelik namun bersyukur. Mungkin rezeki Allah pada saya.

Implikasi 2
Sukar bergaul dan sangat perahsia. Saya tidak mempunyai ramai kawan. Saya anggap perkembangan sosial saya terencat sejak kejadian tu yang mana saya jadi pendiam dan suka pencilkan diri. Segala rahsia dan masalah jarang saya kongsikan pada orang lain. Saya seorang pendengar yang baik pada kawan-kawan tapi susah sangat nak berkongsi rahsia pada orang lain. Saya juga jadi takut dan sukar didekati oleh lelaki (sebab rasa tak layak untuk sesiapa).

Implikasi 3
Lupa. Saya lupa kebanyakan memori zaman kanak-kanak. Ye kejadian hitam yang berlaku pada zaman kanak-kanak tu, (saya rasa) menyebabkan minda saya cenderung untuk memadam memori-memori lain. Baik atau tidak implikasi ini pun saya tak pasti tapi kadang-kadang terkilan juga sebab seronok baca atau dengar kawan-kawan kongsi momen-momen indah zaman kanak-kanak, siap boleh recall macam-macam pengalaman manis, sedangkan dalam fikiran saya macam ada satu gap zaman kanak-kanak. Tak banyak memori yang saya ada.

Implikasi 4
Salahkan diri. Kadang-kadang saya salahkan diri sendiri atas apa yang berlaku. Saya salahkan diri sebab mudah diumpan dengan macam-macam, dan tak melawan. Kadang-kadang saya harap sangat benda yang jadi tu cuma imaginasi saya. Memang benda tu macam sayup-sayup, saya tak ingat details tapi kejadian-kejadian tu kerap bermain kat fikiran saya, macam video low definition yang diulang-ulang. Saya ingat umpan-umpan yang diberi, dialog-dialog yang berlaku masa tu, apa yang mereka lakukan. Macam tu la. Faham tak. Memori tu “hazy” tapi ada. Bila fikir-fikir balik saya tak rasa benda tu imaginasi sebab zaman dulu bukannya ada youtube macam sekarang, yang budak-budak boleh access dengan mudah dan mungkin ada ternampak video adegan tu kat mana-mana dan jadi memori.

*****

Banyak lagi tapi cukuplah setakat tu untuk buka mata lebih ramai ibubapa akan implikasi benda ni. Saya akan kongsikan beberapa cadangan yang saya harap ibubapa dapat amalkan dengan anak-anak.

*****
Cadangan 1
Asingkan bilik. Sangat penting untuk anda asingkan bilik anak lelaki dan perempuan, tak kira berapa pun usia mereka. Lagi awal lagi bagus sebenarnya. Berbanding kita, saya perhatikan (dalam english movies/documentaries) orang barat sangat menitikberatkan hal ni. Anak-anak mereka sejak baby pun dah tak tidur dengan mak ayah dah. Lelaki perempuan diasingkan, dan diberi ruang peribadi pula. Contoh almari, katil dan meja belajar sendiri. Mungkin dalam filem lain dengan realiti. Wallahu alam tapi benda yang baik boleh la jadikan iktibar. Saya suka juga perhatikan cara mereka disiplinkan anak-anak (boleh tengok Jo Frost: Extreme parenting guidance).

Cadangan 2
Jangan biarkan anak-anak (tak kira jantina) bersendirian bersama-sama saudara terdekat (terutama lelaki). Sentiasa awasi dan tanya mereka. Dalam fasa kanak-kanak, di samping jadi ibu bapa mohon sangat jadi kawan pada mereka agar anak-anak tak rasa segan nak cerita apa-apa. Sentiasa dengar dan layan apa yang mereka ceritakan. Kalaupun terpaksa tinggal anak-anak dalam jagaan penjaga lelaki mintak anak ceritakan aktiviti yang dia lakukan sepanjang hari.

Cadangan 3
Perhatikan perubahan tingkahlaku anak-anak. Tingkahlaku mangsa penderaan biasanya berubah sebelum dan selepas kejadian. Contoh kalau anak jenis periang dan talkative, kalau satu hari dia jadi diam dan tak mahu bercakap, tolong tanya dan pantau apa yang jadi. Di sini perlunya anda jadi kawan pada anak-anak. Kalau ibu bapa jenis terlalu garang, anak akan rasa takut untuk cerita (takut dipersalahkan). Kalau anda jenis tak layan anak-anak, mereka cenderung untuk sembunyikan (sebab mak ayah tak peduli).

Cadangan 4
Ajar anak untuk sayangi diri sendiri dengan lindungi tubuh dari dipegang sesiapa. Ajar anak bahagian tubuh yang mana yang sulit dan tak boleh disentuh (safe dan unsafe touch), dan beritahu mereka adalah salah untuk sesiapa sentuh atau buat sesuatu pada tubuh mereka. Apa yang jadi pada saya waktu kanak-kanak adalah atas kerelaan saya sendiri sebab saya tak tahu apa yang mereka lakukan itu salah (dah besar baru saya tahu).

Cadangan 5
Pantau apa yang dilihat anak-anak di dalam smartphone/tab. Lambakan video lucah di media sosial/youtube boleh jadi pendorong kepada perlakuan songsang sebab mereka cenderung nak cuba apa yang mereka lihat. Mereka tak tahu pun benda tu salah. Kalau boleh block youtube. Benarkan anak-anak buka video dan games yang didownload sahaja. Lebih afdhal jangan belikan mereka smartphone sendiri sebelum sekolah menengah.

*****
Rasanya tu je kot. Panjang sangat dah ni. Minta jasa baik kawan-kawan kalau nak tambah cadangan yang lain-lain di ruangan komen supaya ramai yang boleh tahu dan amalkan. Kalau ada cadangan saya yang salah/tak diterima akal boleh sama-sama tegur dan baiki.
Benda ni mesti diketahui oleh semua, baik yang dah ada anak atau belum, yang bujang pun perlu tahu untuk masa depan. Kalau ada tips untuk saya perbaiki diri/move on/terapi pun boleh kongsi kat ruangan komen ye.

Mungkin juga ada personaliti saya tu disebabkan sikap semulajadi saya sendiri, bukanlah implikasi daripada apa yang berlaku. Mungkin. Entahlah sebab saya tak pernah dan tak akan jadi normal pun sejak kejadian tu. Alhamdulillah saya belum pernah depress sampai rasa nak bunuh diri. Pelaku-pelaku pun masih hidup dan menjalankan kehidupan mereka macam biasa. Saya tak rasa saya ada kekuatan nak bersemuka atau buat laporan polis ke apa. Saya dah maafkan si muda namun masih tak dapat terima apa yang si tua buat pada saya. Satu saya nak cakap, kesan penderaan yang jadi adalah berbeza antara satu mangsa dengan mangsa yang lain, bergantung pada pelbagai faktor . Jadi selagi anda tak rasa, anta takkan dapat bayang apa yang jadi dan apa yang ada dalam fikiran dan hati mangsa-mangsa. Jadi jangan judge. Bukan mudah nak maaf dan lupakan. Sekarang saya bersyukur masih hidup di bumi tuhan ni. Namun saya masih bertatih untuk jadi senormal mungkin dan lupakan apa yang berlaku. Adalah hikmahnya tu nanti kan.

Doakan saya. Maaf kalau terlalu panjang, meleret-leret dan membosankan.Terima kasih sebab sudi membaca!

– Rozmah binti Manzor

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit