Rezeki Anak

Assalamualaikum semua. Saya perkenalkan diri sebagai kak H. Seorang pensyarah di sebuah ipta. Tujuan saya menulis hanya untuk berkongsi pengalaman bersama semua adik-adik di sini. Apa yang nak saya kongsikan adalah pengalaman melanjutkan pengajian diperingkat phd selama 6 tahun. Lamanya? Ya…sangat lah lama..hihi..

Sebelum itu, sedikit berkaitan diri saya. Saya anak kedua daripada enam orang adik beradik. Pada awalnya kami hidup bahagia sehinggalah pada umur 15 tahun, abah dan ibu bercerai. Syukur alhamdulillah…adik beradik sebelah ibu sangat mengambil berat tentang pendidikan dan kehidupan kami. Abah, kadang-kadang muncul bila dia dalam keadaan ekonominya (keawangan) stabil, dan kadang-kadang sepi untuk beberapa tahun. Tapi..kami adik beradik tetap sayang dan menghormati abah.

Saya dikategorikan sebagai pelajar yang agak cemerlang. Keputusan peperiksaan alhamdulillah dan akhir nya ketika menuntut diperingkat ijazah, saya bergraduat dengan ‘First Class Honour’. Selepas bergraduat, saya diterima sebagai seorang tutor di ipta (tempat bekerja sekarang). Selepas hampir setahun bekerja sebagai tutor, saya ambil cuti belajar untuk melanjutkan pengajian phd di sebuah ipta di Malaysia (saya diberikan kelebihan untuk terus buat phd tanpa master kerana memiliki ijazah kelas pertama). Di sini lah segala nya bermula.

Sebagai seorang yang bole dikatakan muda ketika melanjutkan pengajian phd (24 tahun), kurang pengalaman dalam dunia postgrade, saya mengalami masalah untuk membiasakan diri dengan research methodology, kolikium, mencari references dan sebagainya. Disamping itu, saya juga sentiasa dibebani masalah keawangan kerana menanggung ibu dan adik-adik yang masih bersekolah dan ada yang telah melanjutkan pengajian ke ipta. Ya, semua terletak dibahu saya kerana hanya saya seorang saja yang bekerja. Ibu pula telah berhenti kerja kerana kilang tempat ibu mencari rezeki ditutup. Setiap bulan, saya akan peruntukkan 70% daripada gaji saya untuk keperluan keluarga. Untuk mengurangkan masalah keawangan ni, saya buat part-time job sebagai cikgu tuisyen. Dapatlah sikit-sikit duit untuk tampung keawangan pada masa itu. Pernah satu masa saya hanya ada rm5 sahaja untuk makan selama seminggu. Jenuh korek sana sini. Bila nak buka sekolah, saya lah orang yang paling risau kalau tak dapat sediakan kelengkapan adik-adik untuk belajar. Alhamdulillah…sekarang semua dah besar panjang.

Selepas 2 tahun dalam pengajian, saya rasa diri macam menjalani satu rutin harian yang sangat sunyi. Rasanya kebanyakan pelajar postgrade faham apa yang saya maksudkan. Saya pergi ke makmal melakukan experiment tepat pada jam 730 pagi dan kadang-kadang pulang ke hostel pada pukul 9:00 malam. Kajian yang saya jalankan melibatkan hampir 90% kerja didalam makmal. Waktu itu, kehidupan saya rasakan amat sunyi…apa yang saya cari dalam kajian belum berjaya ditemui. Dah macam-macam methods yang saya gunakan namun hasil nya masih tiada. Dah berpuluh beratus perbincangan bersama kawan-kawan dan supervisory committee, namun hasil nya belum dapat. Saya sentiasa cuba kuatkan hati, dan tak pernah berputus asa. Semua kawan-kawan tahu betapa kentalnya hati saya pada masa tu. Saya tak putus-putus berdoa agar Allah lapang dan permudahkan pengajian saya.

Pada semester kelima, saya memutuskan untuk berkahwin. Alhamdulillah selepas sebulan, saya disahkan mengandung! Bunting pelamin orang kata. Sebulan pertama, alhamdulillah keadaan diri saya masih sama..masuk bulan kedua kehamilan, saya dah mula alami ‘morning sickness’ yang sangat dahsyat. Sepanjang 4 bulan kehamilan, 6 kali saya ditahan di wad sebab dehydrated. Sungguh, saya rasa sangat terseksa. Hampir setiap hari saya menangis mengenangkan apa akan jadi hari esok. Begitulah keadaan sehinggalah tempoh morning sickness itu berakhir. Apa jadi pada pengajian saya?

Disebabkan morning sickness yang melampau tu, saya tidak mampu untuk melakukan kerja-kerja di makmal disamping risau dengan kandungan . Pada waktu itu, penyelia sangat marah kerana tak mampu nak buat kerja macam orang lain. Dia sering membandingkan dirinya dengan saya dengan mengatakan saya terlebih manja dan sebagainya. Sejujurnya…tanya lah mana-mana ibu mengandung yang mengalami morning sickness (ada yang alhamdulillah sihat sepanjang mengandung), kami sangat-sangat tak nak melalui tempoh ‘kesakitan yang tidak mampu difahami oleh orang yang tidak mengalami’ ini. Kami sangat-sangat nak jalankan kehidupan normal walaupun perut sarat, walaupun banyak halangan. Tapi, sesungguhnya…tak semua orang mampu memahami keadaan kita. Penyelia meminggirkan saya dan boleh kata membenci saya pada masa itu. Hanya Allah dan suami tempat saya mengadu betapa sedih nya hati saya apabila dilayan begitu. Banyak layanan dan kata-kata buruk yang saya terima ketika itu, tapi tak mengapalah…
Allah ada…itu pesan suami saya beribu-ribu kali. Dalam tempoh itu, saya menyendiri, saya siapkan journal dan menulis chapter thesis. Saya cuba hantar pada penyelia untuk semakan…tetapi tidak dilayan. Saya juga hampir gagal ketika peperiksaan comprehensive, tetapi Allah mengurniakan saya hati yang kuat untuk tetap meneruskan perjuangan.

Selepas tempoh berpantang, saya terus memulakan semula kerja-kerja makmal yang tertangguh. Anak kecil saya tinggalkan bersama mak dikampung . Jarak tempat pengajian ke rumah mak lebih kurang 250KM. Isnin saya pergi kampus, selasa petang saya akan pulang ke rumah mak.. Rabu petang saya bertolak semula ke kampus dan Jumaat saya pulang semula menjenguk anak…Saya jalani kehidupan itu selama 6 bulan. Selama tempoh itu, Allah ketemukan saya dengan beberapa insan baru yang sudi berkongsi idea untuk kajian saya. Alhamdulillah, pencarian saya dalam kajian tersebut akhirnya berjaya! Saya sangatlah gembira, siap belanja member-member makan sebab nak meraikan..haha… Selepas 4 tahun setengah cuti belajar (3 kali minta penyambungan cuti), saya perlu pulang semula ke ipta tempat saya bekerja. Tentang hubungan dengan penyelia, alhamdulillah semakin baik pada ketika itu walaupun ada ‘on’ off juga. Saya cuba buktikan padanya bahawa saya bukan lah student yang teruk. Saya published 2 journals! Secara tak langsung saya membantu menambah markah kpi beliau. Makin lama, hubungan makin erat hinggalah sekarang, alhamdulillah (beliau juga secara personal memohon maaf kepada saya).

Selepas lapor diri bekerja, saya cuba memfokuskan untuk menyiapkan penulisan thesis. Ya Allah…dugaan sangat kuat. Ya lah, kita dah masuk kerja, mestilah terikat dengan komitmen kerja. Saya perlu mengajar, buat soalan exam, marking assignments dan exam papers. Suami pula duduk berjauhan dan akan balik menjenguk kami dua beranak setiap hujung minggu. Waktu malam adalah waktu bersama anak dan sejujurnya badan saya penat dengan bebanan kerja. Disebabkan itu, penulisan thesis saya menjadi sangat lambat…tak dinafikan, itu salah saya sendiri. Tidak pandai menguruskan masa dengan baik, walaupun saya dah cuba sehabis baik tapi tetap ada kekhilafan saya disitu. Tidak lama kemudian, saya mengandung anak kedua. Ketika disahkan pregnant…Ya Allah…saya sangat sedih! Saya tak nak pregnant! Berkali-kali saya cakap pada suami yang masa nya belum sesuai untuk tambah anak. Macam-macam perkara bermain difikiran saya masa tu. Anak sulung belum pun cukup 2 tahun, kenangan kehamilan pertama yang menakutkan, dengan thesis belum siap dan masih lagi duduk berjauhan dengan suami…saya betul-betul belum bersedia. Saya dan suami merancang tentang kehamilan…tapi tak tahu lah. Ini semua rezeki dan takdir Allah, siapa saya untuk mempersoalkan. Tapi..perancangan Allah adalah sebaik-baikNya…saya tidak mengalami morning sickness yang teruk. Sekurang-kurangnya, saya dapat menjalani kehidupan dengan baik ketika itu. Sedikit demi sedikit saya cuba menyiapkan thesis dan sebelum saya cuti bersalin, saya selamat hantar first draft kepada penyelia. Baru first draft kan….tapi alhamdulillah saya dah cukup bersyukur. Selepas bersalin..berpantang…saya terus berhubung dengan penyelia dan akhirnya selepas 6 tahun pengajian…saya lulus viva dan kini saya menjawat jawatan pensyarah. Alhamdulillah rezeki anak-anak.

Maaf jika confession saya tidak menarik. Tetapi…apa yang saya nak tekankan disini…saya hanya ingin berkongsi pengalaman bersama adik-adik. Cabaran melanjutkan pengajian bagi yang sudah berkeluarga agak sedikit mencabar. Namun dengan usaha yang berlipat ganda dan doa insyaAllah semua akan dipermudahkan. Jangan mengaku kalah sebelum habis berjuang. Bagi pasangan suami/isteri yang sedang mengikuti pengajian…berikan lah sokongan yang padu dan jitu. Ketahuilah…kata-kata semangat dan sokongan anda sangatlah membantu mereka untuk lebih kuat. Sama juga pada ahli keluarga. Tidak kira adik, akak, abang…sokong dan berikan lah mereka semangat untuk menghabiskan perjuangan ini dengan berjaya. Ambillah pengajaran daripada kisah saya…yang buruk tu semua daripada kekurangan diri saya.

Sekian.

– Kak H

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit