Semoga Dia Tak Ganggu Mak Aku Lagi

Kisah aneh dalam kehidupan keluarga aku bermula pada tahun 2013. Semuanya terlalu cepat berlalu sehinggakan aku susah nak percaya sampai sekarang.

Betul ke ‘benda’ tu wujud? Betul ke? Cuma kita saja yang tak nampak?

Ini kisah benar, demi Allah sedikit pun aku tak tokok tambah. Kisah aneh dalam kehidupan keluarga aku bermula pada tahun 2013. Semuanya terlalu cepat berlalu sehinggakan aku susah nak percaya sampai sekarang.

Tapi nak tak nak aku kena percaya sebab kisah itu memang nyata, walaupun tak dapat dilihat dengan mata kasar, aku dapat rasa kehadirannya.

Baiklah, biar aku mulakan.

Sewaktu aku di tahun dua pengajian, masa tu tahun 2013, aku dikejutkan dengan berita bahawa mama aku ‘diambil alih’ oleh makhluk lain. ‘Diambil alih’ di sini bermaksud ada benda lain yang mengawal mama aku. Aku terus balik kampung dengan adik beradik aku yang lain. Masing-masing dah ready dengan segala macam ayat pelindung. Yela, kami tak tahu apa ‘benda’ yang ada dalam badan mama aku tu, mungkin saka ke kan, jadi kami kena berjaga-jaga. Tapi alhamdulillah, abang ipar aku adalah pengamal perubatan Islam, yang boleh ruqyah orang yang kena rasuk. Jadi dia boleh tolong mama aku.

Sampai saja kat kampung, kami dapat saksikan situasi yang tak pernah kami terfikir pun sebelum ni akan berlaku dalam keluarga kami. Aku tengok mama menangis, ketawa semua ada. Abah pulak dengan raut wajah yang sangat risau. Abah cakap mama aku tak kenal dia. Aku sedih sangat masa tu dan tak faham apa yang sedang berlaku. Dan abang ipar aku terus ruqyahkan mama, sehingga dia tenang dan dapat bercakap dengan kami adik beradik.

Walaupun dia kenal kami adik beradik, dan bercakap elok, aku still dapat rasakan bahawa yang sedang bercakap dengan aku tu adalah orang lain. Serius, aku tak tipu. Dari segi gaya bercakap, ayat yang digunakan nampak berbeza. Yela, siapa la tak kenal mama dia sendiri kan. Biasanya mama bukan macam tu. Ok, aku bagi contoh:

“Kakak, tolong picitkan kaki mama ni, picit elok-elok ya, kan mama dah ajar sebelum ni”, kata mama aku sambil matanya tajam pandang aku.

Kata-kata tu lain sangat. Mama aku mana la pernah ajar aku mengurut. Bila dia pandang tu aku balas sekejap je pandangan dia, sebab aku rasa lain. Aku rasa yang pandang aku tu bukan mama aku, tapi benda lain. Nak tahu sebab apa aku rasa itu bukan mama aku? sebabnya mama tak boleh makan dan minum dah dua hari. Nak telan makanan pun tak boleh.

Then, bila malam first tu, aku dan kakak aku teman mama pergi toilet. Bila masuk je dalam toilet, mama tiba-tiba keluar balik. Aku tanya kenapa? Mama cakap ada ‘benda’ dalam tu, dia tak nak masuk, takut. Aku dengan kakak punya la seriau masa tu, rasa nak berlari keluar dari bilik air secepat mungkin. Dah la malam, aduhhh! Tapi aku tahan je takut tu, abang dah pesan jangan takut, nanti badan lemah.

Disebabkan tak jadi pergi toilet, mama ajak aku tidur sebelah dia, dia nak pegang tangan aku katanya sebab takut dan sejuk. Aku bagi dan pegang erat-erat tangan mama. Kemudian, baru nak lelap mata, aku dengar mama cakap, ‘dia datang dah, dia datang dah…’. Aku terbangun dan pandang mama. Aku tanya siapa datang? mama tunjuk kat depan dia. Aku pandang la, tak nampak apa-apa. Tapi hati ni rasa nak tercabut, mama nampak apa? Ya Allah takutnya aku! Mama cakap yang kat toilet tadi ikut! Lagi lah aku seram.

Lepas mama dah cakap ‘dia datang’ tu, mama dah start meracau. ‘Benda’ tu dah masuk dalam dia. ‘Benda’ yang masuk tu bukan macam masuk bilik nak tidur, tapi dia mencederakan mama secara batiniah. Maksud aku dia ‘gigit’ mama, tapi tak nampak secara zahir. Aku dengar jeritan mama ‘sakit, sakit, sakit’ sambil tunjuk tempat yang digigit tu yang mana tempatnya beralih-alih. Abang aku dah mulakan ruqyah. Aku nampak situasi tu dengan jelas sebab aku kat sebelah mama, pegang tangan mama.

Ada lagi ‘makhluk’ lain yang merayau-rayau kat kat sekeliling mama dan kami semua. Hanya abang dan mama je nampak. Aku hanya pandang ke tempat yang abang baling garam, aku tak nampak apa-apa, tapi aku dapat rasa kehadiran dia, sebab bulu roma aku tegak dan aku rasa seram sejuk. Abang cakap ada macam-macam makhluk masa tu, dia pun tak sanggup nak tengok sebab takut. Dia kuatkan diri dengan baca ayat-ayat suci al-Quran sampai makhluk tu lari. Masa tu, aku rasa macam berada dalam filem. Ya, filem yang biasa aku tengok yang berunsurkan cerita seram tu, sama! Tapi yang aku alami tu real, bukan lakonan.

Ini pertama kalinya aku lihat mama sakit macam tu. Perasaan sedih tu aku tak tahu nak describe macam mana. Sampaikan aku berdoa dalam hati, ‘Ya Allah, kalau boleh Kau alihkan rasa sakit yang mama aku tanggung ni pada aku, aku sanggup! Anak mana yang sanggup tengok mamanya dalam kesakitan? sama macam mama tak sanggup tengok aku sakit.

Abang cakap ‘benda’ yang masuk tu bukan satu, tapi banyakkkkk. Ketika ruqyah tu, ada dialog abang dengan makhluk tu. Dia bagitahu dia dari mana. Yang buat aku terkejut, nama jiran depan rumah, jiran satu kampung, saudara mara pun ada. Ada yang jawab dia saja-saja nak kacau, sebab suka tengok mama aku sakit, suka kalau mama tak boleh kerja dan tak ada duit. Ada yang dengki, tak puas hati, kata suaminya masih gilakan mama sejak berpuluh-puluh tahun yang lalu walaupun dah kahwin dengan dia. Ada yang nak mama mati sebab tolak pinangan anak dia.

Ya Allahhhhh, jelas aku dengar makhluk tu cakap benda tu semua. Sedih weh! Kenapa ada manusia yang sanggup sekutukan Allah demi puaskan hati sendiri? Hmm. Daripada pukul 12 tengah malam dia masuk, subuh baru dia keluar. Kesian mama penat, lemah longlai. Yang paling sedih, makhluk tu halang mama dari makan minum, sebab tu mama tak boleh makan. Untuk pengetahuan semua, situasi yang sama macam aku ceritakan tadi tu, berlaku pada setiap malam selama seminggu. Dan mama tak boleh makan dan minum juga selama seminggu. Kami semua pun tak selera nak makan. Abang aku sampai tak larat dan sampai demam dah nak halang makhluk tu. Disebabkan makhluk tu bertuan, dia degil tak nak keluar. Sebab kalau dia keluar, tuan dia akan marah. Itu yang mahkluk tu cakap sendiri. Aku dengar!

Lepas tu mama berubat dengan mertua kakak aku, baru mama okay. Tapi still lemah. Dalam proses ruqyah dengan ustaz tu (aku panggil dia ustaz), makhluk tu serang kami adik beradik. Dia keluar dari mama, dia serang kakak aku. Kakak aku menggigil macam orang demam panas. Dan lepas tu dia pergi kat aku! Masa tu aku nak baring sekejap sebab dah penat sangat, dengan tak cukup tidur, tak cukup makan semua. Aku baring jauh sikit dari mama. Masa tu pukul 3 – 4 pagi macam tu. Memanglah penat kan. Aku baring mengiring sebelah kiri. Tiba-tiba aku rasa macam kena terkam dan rasa berat kat atas badan aku. Serius terkejut! Aku terus bukak mata, angkat kepala sikit dan pandang ustaz tu. Aku tak boleh bercakap. Rasa makin berat, rasa makin sakit kat tulang belakang aku. Dan ustaz tu terus datang dan ruqyah aku. Lepas tu aku okay dan terus aku demam masa tu jugak!

Ok sambung yang mama tadi, lepas serang aku, makhluk tu pergi kat mama balik. Masa tu berlaku dialog ustaz dengan makhluk tu. Aku tak dapat dengar sebab aku dah lemah sangat. Tapi makhluk janji dia nak keluar. Lepas keluar semua, barulah mama okay. Tapi sampai sekarang, tahun 2016 ni, mama masih sakit-sakit badan, makhluk tu masih ada kat mama walaupun mama tak meracau macam dulu. Makhluk tu masih datang dan pergi disebabkan dia bertuan. Dia ikut apa tuan dia kata. Kesian kat mama terpaksa tanggung sakit sampai sekarang. Nak solat pun sakit, tapi mama tahan jugak, sebab mama kena lawan sebelum mahkluk tu ‘ambil alih’ mama macam dulu lagi.

Lepas peristiwa hitam tu, aku jadi seorang yang sangat penakut. Nak pergi toilet kena berteman, nak pergi mana-mana ruang dalam rumah aku tu kena berteman. Mesti! Sebab aku terbayang-bayang apa yang jadi kat mama tempoh hari. Sejak tu baru aku percaya bahawa makhluk ghaib seperti jin dll tu sebenarnya wujud dan ada di sekeliling kita. Sebab tu kita kena sentiasa lindungi diri dengan ayat-ayat al-Quran supaya kita terlepas dari gangguannya. Sebab tu Islam ajar supaya baca doa sebelum masuk toilet dan keluar toilet supaya makhluk yang ada kat situ tak kacau kita.

Sebelum tidur baca doa supaya sihir yang dihantar kepada kita terbatal (kalau orang nak sihir kita). Sejak peristiwa tu aku amalkan ayat-ayat pelindung sebelum tidur. Biar aku kongsikan kat sini supaya korang semua boleh amalkan.

1. Baca surah 3 Qul sebanyak 3 kali setiap satu (Surah al-Ikhlas, al-Falaq & al-Nas).
2. Baca ayat kursi (3 kali).
3. Baca ayat ‘Bismillahillazi la yadurru ma’asmihi syai-un fil al-ardhi wa la fis-sama’i wahuawas-sami’ul ‘alim (3 kali).
4. Baca a’uzu bikalimaatillaahi taammaati min syarrima kholaq (3 kali).
5. Tiup di tapak tangan, kemudian usapkan ke seluruh badan sambil berdoa supaya Allah lindungkan diri kita dari kejahatan manusia dan syaitan, dari bala dan segala penyakit dan dari segala sihir dari manusia yang zalim.
5. Baca doa tidur dan boleh lah terus lelap.
7. Ulang nombor 1 hingga 5 sebanyak 3 kali ya.

*selamat beramal, dan kalau ada ayat pelindung yang lain sila komen ya.

Aku paling sedih bila tengok orang tidur tanpa berdoa sikit pun. Ada ustaz aku kata, orang akan sihir kita pada malam hari. Tak percaya boleh rujuk surah al-Falaq, baca tafsirnya dan rujuk orang yang pakar. Jadi hari ni aku mohon pada semua supaya sentiasa lindungi diri dengan ayat-ayat suci al-Quran. Yela, kita tak tahu bila makhluk tu nak ganggu kita, bila orang tak puas hati dengan kita, bila orang nak sihir kita. Jadi sebelum berlaku, marilah kita sama-sama cegah. Sebab bila dah terkena, agak susah untuk buang, sama macam mama.

Lepas aku dah amalkan ayat-ayat pelindung tu, aku dah tak takut sangat dah. Aku cuba kuatkan diri dan yakin bahawa Allah akan lindung bila kita yang usaha untuk minta pertolongannya. Setiap hari jangan skip baca al-Quran. Dua page sehari pun dah cukup. Bacalah dalam rumah korang atau kalau student dalam bilik masing-masing supaya tempat tinggal yang kita duduk tu tak kosong dan lemau. Biar makhluk-makhluk tu benci nak dekat dengan kita.

And the last one, aku harap orang yang sihir mama tu BERUBAH. Biar dia menyesal dan kembali kepada Pencipta-Nya. Dan seterusnya datang minta maaf dengan mama. Kami tak berdendam, cuma sedih kenapa sanggup sekutukan Allah demi kepuasan diri sendiri. Sebab selagi mama masih sakit, itu bermakna dia masih belum berhenti dari sihir mama. Tolong doakan juga ya. Aku harap sangat dia berubah sebelum ajal menjemput dia dan mama. Aku nak kesalahan dia dengan Allah dan mama dapat dia tebus sebelum dia pergi tinggalkan dunia ni. Peringatan untuk kita, aku dan semua, jika kita buat kesalahan dengan Allah, lakukan taubat nasuha. Jika buat kesalahan dengan manusia, mohonlah maaf dari mereka.

Terima kasih sudi membaca.

– Betul ke ‘benda’ tu wujud? Betul ke? Cuma kita saja yang tak nampak?

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit