Umrah Pertama Kali

Bismillahirahmanirrahim,

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca. Saya angah, teringin sangat nak berkongsi pengalaman umrah saya dan keluarga baru-baru ni. Saya percaya ramai antara pembaca yang pernah ke Tanah Suci, dan buat mereka yang masih belum berkesempatan, insyaAllah, anda pasti menjejakkan kaki di sana satu hari nanti, amin. :’)

Sejujurnya, sebelum ke Tanah Suci, bermacam macam perkara bermain di fikiran. Layakkah aku? Mampukah aku? Kalau aku diuji di sana, bolehkah aku menghadapinya? Hati ni pula asyik berbolak balik sedangkan dah tak lama lagi nak berlepas ke sana. Allah, sampai begitu sekali tahap pemikiran aku ketika itu.

Sepanjang dalam penerbangan ke Madinah, mulut tak berhenti menyebut, “Ya Allah, mudahkan ya Allah, janganlah Kau susahkan”. Dalam hati duk berdoa, “Ya Allah, sambutlah kami dengan rahmatMu”. Betul – betul risau sangat, sebab sebelum bertolak, ramai yang pesan, jangan ada lintasan hati atau fikiran yang tidak elok, jaga percakapan, perbuatan, segala tingkah laku kerna khuatir akan benar – benar terjadi.

Sesampainya di Madinah , kira- kira pukul 3 pagi waktu di sana, turun saja dari perut kapal terbang, angin Madinah terus menerpa ke muka. Sejuk, dingin, nyaman. Tenang. Waktu tu rasa, tak percaya, kaki dah jejak tanah Madinah. Ketika perjalanan ke hotel dari lapangan terbang, bila mutawwif kata yang di hadapan itu Masjid Nabawi, saat pertama kali ternampak menara hijau yang cantik tu, terus sebak sangat. Subuh pertama di Masjid Nabawi, Subhanallah, tenangnya, cantiknya. Waktu ni, semua perasaan takut tu berubah menjadi kagum sangat sangat dengan kebesaran, keagungan Allah. Alhamdulillah. Rasa kerdil sangat.
Benarlah, bumi Madinah ni sangat barokah. Perasaan rindu tu sampai hari ni masih terasa ada. Sejujurnya rasa tenang itu, tak pernah dirasa. Bila tiba waktu untuk ziarah selamat tinggal, kami dibawa untuk melawat Masjid Nabawi dari luar, dan berada dekat dengan kubah hijau yang dibawahnya terdapat makam junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW. Masa ni, memang sayu dan sebak sangat. ” Ya Rasulullah, kami datang menziarahi mu wahai kekasih Allah”. Masa ni rasa dekat sangat dengan baginda Rasulullah, rasa rindu sangat dengan baginda. Sungguh kagum dalam masa yang sama sayu bila mengenangkan betapa jerih perit usaha baginda dan para sahabat untuk menyampaikan dakwah sehingga kita pada hari ni dapat hidup dengan nikmat iman dan islam.

Berat sungguh rasa nak meninggalkan bumi Madinah. Rindu yang tak terungkap sehingga ke saat ini. Setelah 3 hari kami berada di bumi Madinah, tibalah masa untuk ke Mekah bagi menunaikan umrah.

Kami bertolak sekitar lepas Zohor dan sampai di Mekah kira- kira pukul 9 malam. Lepas berehat dan membersihkan diri di bilik hotel, kami terus turun ke bawah untuk menunaikan umrah pertama kami sekeluarga. Waktu tu memang ‘nervous’. Tapi setibanya tiba di depan kaabah, Ya Allah, betulkah ni? Bercampur baur perasaan masa tu. Selesai tawaf dan saie serta bercukur/ gunting rambut, tetiba macam, eh dah selesai umrah yang pertama. Ibadah umrah yang pada mulanya rasa berat, rasa tak mampu ( fikiran sebelum tiba di Tanah Suci), Allah mudahkan, Allah izinkan. Rasa gembira, rasa seronok sangat.

Di Mekah, memang ramai sangat orang, terutamanya ketika hendak tawaf. Kadang kita rasa, eh ramainya orang, boleh tawaf kah ini? InsyaAllah, boleh :) Pasti ada ruang untuk kita. Oh ya, kalau rasa dahaga atau nak ambil wudhu, gunalah air zam zam yang banyak disediakan di sekitar Masjidilharam dan Masjid Nabawi.

Bagi 6 hari yang berikutnya di Mekah, banyak waktu kami habiskan di dalam Masjidilharam. Kadang rasa nak segarkan mata, terus pergi melihat keindahan Kaabah. Tenang, setenangnya bila melihat Kaabah. Di Mashidilharam ni, bila ada senggang waktu di antara waktu solat, ramai jemaah dari bermacam negara yang suka bersedekah. Kadang dihulur kurma, coklat, malah ada yang menghulur air kopi panas. Keadaan yang sama juga di Masjid Nabawi. Semua berebut- rebut merebut pahala.

Sebelum pulang ke tanah air, kita wajib buat tawaf wida’ (tawaf selamat tinggal) kecuali golongan yang uzur (contohnya: wanita yang kedatangan haid, istihadah) . Ketika melaksanakan tawaf wida’ ni, ada satu perasaan yang tak pernah dirasa sebelum ni. Jiwa rasa meronta sangat, tak nak tinggalkan tanah suci ni. Berat sungguh rasa. Sedih sangat, sebab, sepanjang di tanah suci, memang Allah pelihara hati hamba- hambaNya. Di sini, kita tidak terlalu memikirkan dunia sebanyak mana yang kita lakukan di tanah air sendiri.

Sehingga sekarang, kalau ternampak gambar yang dimuatnaik mereka yang berada di tanah suci, saya akan rasa sebak sangat. Rindu mahu kembali ke sana.

Buat sahabat- sahabat yang lain, tanah suci memang sangat- sangat istimewa. Sentiasa bersangka baik dengan Allah ( ini pesanan untuk saya juga khasnya). Jangan terlampau khuatir dan rasa risau yang kita ni terlampau banyak dosa sehingga terkubur niat untuk ke sana. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, Allah Maha Baik dan suka akan hambaNya yang memohon ampun :’)

Akhir kata, saya mohon seribu kemaafan andai ada kekurangan di dalam penulisan ini, dan jika ada kesilapan, bantulah saya untuk diperbetulkan ya ? Moga Allah izinkan kita semua untuk ke sana, insyaAllah. Doakan saya dan keluarga juga ya :)

Yang merindui,

= Angah =

– Angah

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit