Yang Dah Berkahwin, Mohon Jangan Culas Groupwork

Aku bukanlah insan yang sempurna namun masih merangkak mencari kesempurnaan walaupun masih jauh untuk sampai ke tahap itu.

Hujung semester, maka kerja yang diistilahkan sebagai “assignment” pula makin berlambak dan bertimbun. Ya, mungkin salah aku kerana berlengah dan mengabaikan apa yang dinamakan assignment untuk disiapkan pada peringkat awal. Walau apa sekaluipun, pahit harus ditelan, mata harus disengkangkan kalau dah namanya kerja di akhir waktu.

“Weyh, kau jadi partner aku eh kat semua assignment”. Maka aku pun mengangguk tanpa rasa takut, segan dan silu. Mana tidaknya, kawan semenjak asasi. Sekelas namun aku tidak pernah berjodoh satu kumpulan dengannya sepanjang tempoh perkenalan. Maka anggukan itu makin kuat kerana diberi kesempatan. Dengar kata, orangnya hebat, sebab itu terlebih semangat.

Bulan kedua semester, dia berkahwin. Ya. BERKAHWIN. Memang benar impaknya positif pada dia. Dia semakin kemas, ada yang gosokkan bajunya. Dia semakin berisi, ada yang masakkan untuknya. Hanya positif di pihaknya. PADA DIA!

Pada aku? Wahai sahabat yang berkahwin masa belajar, aku tidak melarang kau berkahwin ketika belajar mahupun bertunang ataupun berpasangan. Tapi…

Ketahuilah, sekiranya kau tinggalkan tanggungjawab kau sebagai seorang pelajar, maka ada seorang insan lain yang sedang bersusah payah menyelesaikan apa yang dinamakan assignment dengan seorang diri dan bersengkang mata setiap malam.

Ketahuilah bahawa kawan yang kau tinggalkan ketika diskusi ini untuk balik ke rumah dengan alasan isteri sakit padahal isteri kau baru upload gambar di Instagram lima saat lepas, sedang bergelumang dengan waktu untuk mengejar tarikh akhir.

Ketahuilah bahawa kawan kau ini juga ada tuntutan lain yang perlu diselesaikan.

Dan ketahuilah kawan kau ini sedang mengalami masalah kesihatan dan dia perlu melawannya kerana peperiksaan akhir sedang dekat.

Dan ketahuilah belum terlambat untuk kau bertanya kepada aku apa yang boleh kau bantu.

Dan ketahuilah bahawa KITA SEMUA BELUM TERLAMBAT UNTUK BERTANYA PADA RAKAN SEKUMPULAN KITA DAN SALING MEMBANTU.

Jangan kata aku tak pernah terangkan pada pensyarah keadaan aku. Ya, aku pernah dan assignment aku pula yang ditolak kerana tiada unsur ‘kerjasama’ yang diterapkan dalam assignment tersebut. Akhirnya, aku terpaksa masukkan nama dia sekali atas dasar malas hendak bertelagah dengan pensyarah mahupun dia.

Kepada rakan yang sudah berkahwin, TOLONG JANGAN ABAIKAN TANGGUNGJAWAB ANDA SEBAGAI PELAJAR. Aku merayu dan aku meminta.

– Shahrul Azhar

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit